MEMORI HIT CROSSFIRE 1989 – 1997

Ρ ada tahun penghujung 1980’an banyak kumpulan muzik yang muncul bak cendawan tumbuh pada musim hujan. Era ini juga turut menyaksikan kegemilangan muzik rock yang sentiasa menjadi pilihan pendengar. Salah sebuah kumpulan rock yang turut menyemarakkan lagi bahang dunia muzik tanah air ialah kumpulan Crossfire.

Crossfire diasaskan oleh pemain gitar utamanya iaitu Burn atau nama sebenarnya Abu Bakar Osman. Bersama-sama anggota lain iaitu Aim selaku vokalis, Yus, Taufiq dan Alias, kumpulannya mengasah bakat mereka menerusi majlis-majlis perkahwinan di sekitar Johor. Menyedari bakat yang ada pada diri mereka menyebabkan mereka memberanikan diri menghasilkan “demo tape” dan menghantarnya ke syarikat rakaman MSO untuk dinilai. Ternyata tuah menyebelahi mereka apabila syarikat rakaman tersebut bersedia untuk menerima mereka sebagai artis mereka. Bagai yang dicitakan Crossfire muncul dengan album pertama yang berjudul Fatamorgana pada bulan Jun 1989. Album ini mendapat sentuhan penerbit berbakat iaitu Samad Lefthanded. Sesuai dengan namanya, Crossfire Berjaya menambat hati peminat muzik rock tanah air. Lagu-lagu seperti ‘Realiti dan Fantasi dan ‘Setelah Kau Tiada’ ciptaan mereka sendiri telah meletakkan nama Crossfire sebaris dengan kumpulan muzik popular tanah air yang lain.

Perjuangan masih diteruskan sesuai dengan semangat yang kian membara. Oleh itu, pada tahun 1990 mereka muncul pula dengan album kedua yang bertajuk Erosi. Kali ini Crossfire menampilkan perubahan apabila menggunakan khidmat Khalid Mubin daripada kumpulan Rusty Blade sebagai penerbit album. Walaupun bertukar penerbit, Crossfire tetap menjadi pilihan peminat muzik rock tanah air. Sesuai dengan lagu “Nyata Buka Ilusi” jelaslah bahawa kehadiran mereka di persada seni tanah air bukan bermimpi di siang hari, bahkan nama mereka semakin sebati di jiwa anak-anak muda.

Cabaran dalam bidang seni suara tidak pernah mematahkan semangat anggota Crossfire. Walaupun baru mempunyai dua album, pihak syarikat rakaman bersetuju untuk menerbitkan album kompilasi mereka yang menggunakan judul Di Sisi Mu. Album yang diterbitkan pada tahun 1992 ini turut menampilkan sebuah lagu baru yang diberi tajuk “Takdir Cinta” ciptaan pencipta Indonesia iaitu Zahir.

Walau hanya baru tiga album dihasilkan, Crossfire telah mengutip banyak pengalaman untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan karier seni mereka. Oleh itu, dengan kepercayaan daripada pihak syarikat rakaman, pada tahun 1993 mereka telah muncul dengan album keempat yang bertajuk Metonimia. Apa yang membanggakan album yang dirakamkan di Studio Channel 11 ini merupakan buah tangan mereka sepenuhnya kepada para peminat kerana mereka turut bertindak sebagai penerbit. Mereka juga turut mempamerkan bakat mencipta lagu dan lirik untuk memuatkan dalam album ini. Antara lagu hit yang mengukuhkan lagi kedudukan mereka ialah “Antara Kita” ciptaan Yus dan liriknya oleh Aim.

Nama Crossfire meledak bukan hanya dengan irama metal bahkan mereka Berjaya menambat hati peminat dengan irama slow rock. Demi memenuhi hasrat peminat, dalam tahun yang sama Crossfire telah muncul dengan album Koleksi Slow Rock Terbaik yang menampilkan semua lagu slow rock dendangan mereka. Lagu-lagu seperti Realiti dan Fantasi, Antara Kita, Nyata Bukan Ilusi terus menjadi pilihan pendengar di mana-mana sahaja.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Begitulah ibarat nasib Crossfire apabila berlaku perubahan anggota dalam kalangan mereka akibat tuntutan keadaan dan masa. Tempat vokalis telah diambil alih oleh Asri bersama dua anggota baru iaitu Yem Sambora dan Almi. Anggota asal yang kekal hanyalah Yus dan Burn. Namun semangat yang membara tidak akan dibiarkan padam. Oleh itu muncullah album Espirit De Corps yang diterbitkan sendiri oleh Crossfire. Sekali lagi nama mereka meniti bibir peminat apabila lagu “Pelangi Jingga” Berjaya menjadi siulan anak-anak muda. Lagu tersebut sering menjadi pilihan di stesen-stesen radio tempatan.

Pihak syarikat rakaman masih menaruh kepercayaan terhadap kemampuan Crossfire apatah lagi setelah nama mereka semakin kukuh dan terus hangat. Kini, mereka muncul lagi dengan album kelima iaitu Ilustrasi. Album ini sekali lagi menampilkan perubahan apabila vokalis utama diterajui oleh Ami Rizal bersama-sama Yem Sambora, Ami dan Burn. Untuk album ini, MSO member kepercayaan kepada anggota Crossfire sendiri iaitu Burn untuk bertindak sebagai penerbit. Keistimewaan albu ini ialah apabila penyanyi asal kumpulan ini iaitu Aim diundang menyampaikan empat buah lagu. Dengan pelbagai irama di dalamnya, album ini mempertaruhkan lagu “Antara Luka dan Rindu” ciptaan Burn dan liriknya Juwie serta lagu “Takdir Menentu Segalanya” ciptaaan Saari Amri dan lirik oleh Yatie.

Setelah hampir sepuluh tahun berada di persada seni tanah air, Crossfire muncul pula dengan album Konservatif. Album ini merupakan album keenam Crossfire. Sesuai dengan judul yang bermaksud “tradisi lama” maka mereka meneruskan perjuangan mereka di bawah syarikat yang sama. Apa yang lebih mengesankan apabila kemunculan album ini mengekalkan anggota asal pada awal kemunculan dan mengekalkan konsep yang sama. Terbukti kemunculan mereka sebenarnya adalah demi menghargai peminat yang tidak pernah putus-putus memberikan sokongan dan kesetiaan. Sebahagian daripada lagu dalam album ini merupakan lagu-lagu terbaik daripada album-album terdahulu manakala sebahagian lagi merupakan lagu baru yang dicipta sendiri oleh Crossfire. Sememangnya album yang menampilkan konsep speed metal dan slow rock ini dapat memancing hati peminat untuk terus menghargai bakat Crossfire. Lagu “Abadikan Memori” telah menjadi lagu hits.

Kalau sebelum ini Crossfire pernah muncul dengan album kompilasi lagu-lagu slow rock, kali ini dengan beraninya mereka muncul bersama album Metal Rock. Sesuai dengan judulnya, lagu-lagu yang dimuatkan adalah lagu-lagu mereka yang berkonsep metal. Album ini lahir tepat pada masanya kerana pada masa itu demam metal sememangnya mula melanda dunia muzik tanah air.

Walau perjalanan telah jauh dilalui, namun Crossfire tidak pernah jemu menabur bakti demi cinta mereka pada dunia seni. Tanpa album baru, tanpa publisiti, namun Crossfire tetap gah di mata peminatnya. Mereka kini walaupun sekadar aktif di belakang tabir tidak berasa kecewa kerana perkara yang penting bagi mereka adalah usaha sebagai pengukur kejayaan mereka selama ini. Apa yang pasti, lagu-lagu mereka tetap subur diingatan para peminatnya sehingga kini.

Petikan ayat ihsan dari buku biodata, keluaran cd Memori Hit Crossfire Exclusive Series
℗2005 Musical Sound Organisation Sdn. Bhd.©2005 Music Valley Sdn. Bhd.

Sila Komen/ Leave a Reply

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: